Wednesday 2 October 2013

KITA SUKAR MENGAKUI KESALAHAN !!!!!

       " LUBANG tu la. Seluas-luas tanah dekat situ pula dia ada. Tak pasal-pasal kaki berdarah," kata seorang kanak-kanak kepada ibunya. Matanya turut mengalirkan air mata. Darah yang keluar daripada luka memang banyak. Pedih pula terasa apabila diletakkan ubat.

       " Betul tu. Lubang tu besar sangat,kan? Kesian anak mak. Nanti,kejap lagi mak akan pukul lubang tu dengan cangkul. Mak kambus terus pun boleh," bela si ibu sambil matanya menjeling ke arah lubang yang dimaksudkan.

       Entah siapa yang menggali lubang bekenaan,getus hati si ibu lagi. Benar, ibu mana yang sanggup melihat anaknya menangis. Apatah lagi mengalami luka sehingga berdarah. Lagipun,bukan salah anaknya. Tidak sengaja kaki terjerumus ke lubang berkenaan. Jika lubang itu adalah manusia,pasti akan dimarahinya.

       " Kamu dah tahu ada lubang dekat situ, tapi kat situ jugalah kamu pergi. Bukan salah lubang tu. Kamu tu yang tak berhati-hati," sampuk sang ayah sambil berlalu pergi sementara si ibu dan anak hanya mendiamkan diri.

       Begitulah. Mungkin kita sendiri yang kurang menyedari. Semenjak kecil kita dilatih untuk menyalahkan sesuatu yang lain. Malah, kita sering menyalahkan orang lain walaupun kesilapan berkenaan disebabkan kelemahan diri sendiri.

       Lihatlah di sekeliling. Kita mungkin mengakui hakikat berkenaan. Bagaimana seorang pemain bola sepak menyalahkan padang ketika pasukannya kalah ataupun ketika sepakan penalti yang diambil tersasar dari gawang gol. Sama seperti seorang pekerja menghamburkan cacian kepada majikannya sedangkan dia yang tidak berdisiplin. Begitu juga apabila seorang suami menyalahkan isterinya sebagai punca kedinginan hubungan. Sedangkan dia sebenarnya yang tidak mempunyai ilmu pengurusan rumah tangga.

       Ketika keadaan terdesak,kita akan mencari 1000 alasan demi melepaskan diri daripada sebarang kejadian atau musibah yang berlaku. Lantas kita akan berasa selesa seandainya tidak dipersalahkan biarpun alasan yang diberikan telah menyebabkan kita terpaksa menipu. Lebih teruk lagi,kita salahkan orang lain pula. Akhirnya,orang lain terpaksa menjadi mangsa keadaan.

       Sudahlah kita bersalah kerana meletakkan kesalahan di atas bahu orang lain. Lebih menambahkan dosa apabila alasan yang kita ciptakan memaksa diri untuk menipu. Berdosa hukumnya kita menipu diri sendiri mahaupun sesiapa saja.

       Firman ALLAH S.W.T bermaksud:

       "Sesungguhnya TUHANmu Maha Luas keampunanNYA. Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak DIA mencipta kamu (berasal) dari tanah dan semasa kamu berupa anak yg melalui pelbagai peringkay kejadian didalam perut ibu kamu. Maka, janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu besih daripada dosa). DIA saja yang lebih mengetahui akan org bertakwa" -surah an-Najm:32

       Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:

       "Beruntunglah orang yang sibuk melihat aib dirinya sehingga tidak sibuk dengan aib orang lain."

       Maka, memilih untuk menyalahkan diri sendiri sebenarnya lebih mulia daripada menunding jari kepada orang lain. Hal ini kerana kita akan lebih mudah mempelajari kesilapan berkenaan. Alangkah bijak dan indahnya apabila kita hanya menghitung aib diri sendiri berbanding orang lain.

       


No comments:

Post a Comment