Wednesday 6 November 2013

KASIH SEORANG IBU

Pada suatu hari, seorang pemuda yang bernama Safwan terlibat dalam kemalangan. Dia dilanggar oleh sebuah teksi di sebatang jalan raya.
Akibat daripada kemalangan itu dia cedera parah. Kepalanya luka, tangannya patah dan perutnya terburai. Setelah dibawa ke hospital, doktor mendapati keadaannya terlalu teruk dan menjangkakan dia tidak ada harapan lagi untuk hidup. Ibunya, Jamilah segera dihubungi dan diberitahu tentang kemalangan yang menimpa anaknya.

Hampir pengsan Jamilah mendengar berita tentang anaknya itu. Dia segera bergegas ke hospital tempat anaknya dimasukkan.Berlinang air mata ibu melihat keadaan anaknya. Walaupun telah diberitahu bahawa anaknya sudah tiada harapan lagi untuk diselamatkan, Jamilah tetap tidak henti-henti berdoa dan bermohon kepada Allah agar anaknya itu selamat.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, keadaan Safwan tidak banyak berubah. Saban hari Jamilah akan datang menjenguk anaknya itu tanpa jemu. Saban malam pula Jamilah bangun untuk menunaikan solat malam bertahajjud kepada Allah memohon keselamatan anaknya. Dalam keheningan malam, sambil berlinangan air mata, Jamilah merintih meminta agar anaknya disembuhkan oleh Allah.

Ini adalah antara doa Jamilah untuk anaknya itu ;

”Ya Allah ya Tuhanku, kasihanilah aku dan kasihanilah anak aku. Susah payah aku membesarkannya, dengan
susu aku yang Engkau kurniakan kepadaku, aku suapkan ke dalam mulutnya. Ya Allah, aku pasrah dengan apa jua keputusan-Mu! Aku redho dengan qada’ dan qadar Mu yaa Allah.”

”Yaa Allah, dengan air mataku ini, aku bermohon kepadaMu, Engkau sembuhkanlah anakku dan janganlah Engkau cabut nyawanya. Aku sangat sayang kepadanya. Aku sangat rindu kepadanya. Susah rasanya bagiku untuk hidup tanpa anakku ini. Terngiang-ngiang suaranya kedengaran di telingaku memanggil-manggil aku ibunya.”

“Ya Allah, tidak ada Tuhan melainkan hanya Engkau saja. Tunjukkanlah kuasa Mu ya Allah. Aku reda kalau anggota badanku dapat didermakan kepadanya agar dengannya dia dapat hidup sempurna kembali.”

“Ya Allah, aku redha nyawaku Engkau ambil sebagai ganti asalkan Engkau hidupkan anak kesayanganku. Engkaulah yang Maha segala hal, berkat kebesaran Mu ya Allah, terimalah doaku ini….aamiin”.

Keyakinan Jamilah terhadap kuasa Ilahi sangat kuat walaupun tubuh badan anaknya hancur cedera dan dikatakan sudah tiada ada harapan lagi untuk hidup. Namun, Allah benar-benar mahu menunjukkan kebesaran dan kekuasaanNya.

Setelah 5 bulan terlantar, akhirnya Safwan menampakkan tanda-tanda kesembuhan dan akhirnya dia sembuh sepenuhnya. Berkat doa seorang ibu yang ikhlas.

Safwan dapat meneruskan hidupnya hingga berumahtangga dan beranak-pinak. Ibunya, Jamilah semakin hari semakin tua dan uzur.

Suatu hari, Jamilah yang berusia hampir 75 tahun jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Pada mulanya, Safwan masih melawat dan menjaga ibunya di hospital. Tetapi semakin hari semakin jarang dia datang menjenguk ibunya hinggalah pada suatu hari pihak hospital menghubunginya untuk memberitahu keadaan ibunya yang semakin teruk.

Safwan segera bergegas ke hospital. Di situ, Safwan dapati keadaan ibunya semakin lemah. Nafas ibunya turun naik. Doktor memberitahu bahawa ibunya sudah tidak ada masa yang lama untuk hidup. Ibunya akan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada bila-bila masa saja.

Melihat keadaan ibunya yang sedemikian dan kononnya beranggapan ibunya sedang terseksa, lantas Safwan terus menadah tangan dan berdoa seperti ini;

“ Yaa Allah, seandainya mati lebih baik untuk ibu, maka Engkau matikanlah ibuku! Aku tidak sanggup melihat penderitaannya. Yaa Allah, aku akan redho dengan pemergiannya…Aamin.”

Begitulah bezanya doa ibu terhadap anak dan doa anak terhadap orang tuanya. Apabila anak sakit, walau seteruk mana sekalipun, walau badan hancur sekalipun, walau anak tinggal nyawa-nyawa ikan sekalipun, namun ibu bapa akan tetap mendoakan semoga anaknya diselamatkan dan dipanjangkan umur.

Tetapi anak-anak yang dikatakan ‘baik’ pada hari ini akan mendoakan agar ibu atau bapanya yang sakit agar segera diambil oleh ALLAH, padahal ibu bapa itu baru saja sakit. Mereka meminta pada Allah agar segera mematikan ibu atau bapanya kerana kononnya sudah tidak tahan melihat ‘penderitaan’ ibu bapanya.

Anda bagaimana? Apa doa anda untuk ibu bapa anda?

BODOKAH IBUKU TIADA IJAZAH,MASTER @ PHD..

Hari itu, Cikgu Yong, guru mata pelajaran Kajian Tempatan meminta murid-murid kelas 4 Tun Razak berkongsikan pekerjaan ibu bapa mereka dengan rakan-rakan sekelas.

Tiba giliran Naqiyudin, dia berasa sedikit gementar untuk ke hadapan dan bercakap dengan semua mata tertumpu kepadanya. Almaklumlah, pertama kali diminta berbuat sedemikian.

Sebelum itu, sudah ada tujuh orang murid yang lain yang telah pon berkongsikan pekerjaan ibu bapa masing-masing. Ada yang si bapa bekerja sebagai doktor. Ada yang si ibu bekerja sebagai pensyarah. Ada yang jurutera. Ada yang saintis. Ada yang peguam. Macam-macam lah! Semuanya pon hebat-hebat belaka!

"Assalamualakum kawan-kawan. Err.. Err.. Hari ni, saya nak kongsi dengan kawan-kawan... Pekerjaan ibu saya je kot. Bapa saya dah takde. Dia meninggal masa saya darjah 1 lagi."

Pendedahan Naqiyudin itu disambut dengan 'Oooohh' dan 'Aaahhh' oleh rakan-rakannya yang lain, terutamanya yang perempuan. Naqiyudin menjadi semakin tidak keruan. Dia cuba menenangkan dirinya dengan menggentel-gentel jarinya.

"Tapi dulu... Tapi dulu ayah saya kerja sebagai cikgu, macam Cikgu Yong jugak!"

Cikgu Yong tersenyum mendengar kata-kata Naqiyudin itu.

"Ibu saya... Uhm... Masa ayah ada dulu, dia jadi suri rumah sepenuh masa. Sekarang ni... Dia ambil upah menjahit. Kadang-kadang dia buat kuih..."

Kedengaran ada beberapa orang yang tertawa mendengarkan perkongsian Naqiyudin itu.

"Sharifudin Ali! Kenapa kamu gelak? Cuba hormat sikit Naqiyudin di hadapan tu!"

Cikgu Yong dengan tegas menegur anak-anak muridnya yang tertawa sebentar tadi.

"Takde apa cikgu. Maaf cikgu."

Namun pada wajah Sharifudin Ali, terukir sekuntum senyuman sinis yang menjengkelkan. Telinga Naqiyudin tiba-tiba menjadi panas. Kepalanya tidak semena-mena berpeluh dan gatal. Dia mengetap giginya menahan sabar.

"Cikgu, izinkan saya bertanya kepada Sharifudin Ali kenapa dia tertawa sebentar tadi?"

Cikgu Yong mengangguk.

"Sharif, kenapa kau gelak tadi? Ada apa-apa masalah ke, mak aku jahit baju dan jual kuih?"

Sharifudin Ali bangun dengan gaya yang penuh angkuh, berpeluk tubuh dan dengan selambanya mengejek Naqiyudin.

"Bukan apa. Mak orang lain semua kerja terer terer. Doktor. Pensyarah. Pembaca berita. Semua belajar tinggi-tinggi. Mak aku pon, bukan nak kata ah, tapi seorang usahawanita yang sukses. Sampai mak kau... Heh."

Terbeliak mata Cikgu Yong mendengar kata-kata Sharifudin Ali yang penuh selamba itu. Sharifudin Ali baharu sahaja melanggar garisan sempadannya. Naqiyudin menggenggam tangannya, penuh kemarahan dan ketidakpercayaan. Baharu sahaja Cikgu Yong mahu mengatakan sesuatu, Naqiyudin sudah menyerang balas dahulu.

"Oh ye..? Mari sini, aku nak beritahu kau sesuatu.

Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap pagi dia akan kejutkan aku untuk solat Subuh dan kemudian bersiap-siap untuk pergi sekolah.

Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari baju sekolah aku sudah tersedia bergosok.

Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap pagi dia akan sediakan bekalan sarapan untuk aku.

Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari dia akan teman aku pergi sekolah.

Ye, mak belajar tak tinggi, tapi sebelum berpisah dengan aku, dia akan peluk aku dan hadiahkan aku ciuman di pipi dan dahi.

Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari, lepas loceng sekolah berbunyi, dia sudah tersedia menanti di luar pagar.

Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi aku dapat jalan balik dari sekolah dengan mak aku sambil makan aiskrim.

Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari, lepas balik dari sekolah, makanan tengah hari sudah tersedia di dapur.

Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi setiap hari dia pasti akan temankan aku buat buat kerja sekolah dan dia akan pastikan aku siapkan kerja sekolah aku.

Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi aku ada 7 orang adik-beradik dan semuanya dia boleh jaga dengan baik!

Ye, mak aku belajar tak tinggi, tapi makan kami cukup, pakaian kami cukup dan kami adik-beradik saling membantu untuk cukupkan mana yang perlu. Kami bahagia!

Kau ada...??"

Tergamam Cikgu Yong. Terkesima seluruh kelas.

Pucat muka Sharifudin Ali. Pipinya basah dengan air mata.

***

Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup tidak tidur malam hanya kerana mahu menidurkan anaknya.

Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berbelanja besar untuk anak-anaknya, sedangkan untuk diri sendiri dia bersederhana.

Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berpenat-lelah, ke hulu dan ke hilir semata-mata menuruti kehendak si anak.

Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berlapar asalkan anaknya sendawa kekenyangan.

Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup ditertawakan oleh sekeliling, berpakaian selekeh dan selebet asalkan si anak cantik bergaya.

Seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup berpuasa sebulan hanya kerana mahu membelikan kasut baru buat si anak.

Seorang ibu itu 'bodoh' tidak dapat melelapkan matanya hanya kerana risaukan si anak yang tidak reti nak balik rumah, pulang lewat malam.

Seorang ibu itu 'bodoh' sanggup membiarkan diri jatuh sakit hanya kerana memikirkan perangai si anak yang dah macam jembalang gunung.

Seorang ibu itu 'bodoh' kerana seharian dengan linangan air mata sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anak-anaknya, meski si anak tidak pernah memaknai erti doa seorang ibu.

Dan seorang ibu itu 'bodoh' kerana sanggup 'mati' hanya kerana mahu melihat anaknya terus 'hidup.'

Meskipun si ibu itu tampak 'bodoh' pada pandangan mata manusia, 'bodoh' pada penilaian dunia, ketahuilah, syurga itu tetap berada di bawah telapak kakinya!....  
 
 MAK...engkaulah RATU hatiku...